Manor Beach Resort sukar dilupai

manorutusan

MANOR adalah gabungan nama pasangan suami isteri. Ia bagaikan simbol ikatan kasih pemiliknya yang merupakan bekas pegawai pengurusan di sebuah firma kejuruteraan, manakala isterinya pula pernah bertugas sebagai pegawai tinggi di sebuah syarikat petroleum.

Hasil gabungan nama mereka, lahirlah sebuah resort yang dibangunkan dengan cerminan kecintaan terhadap ketinggian seni bina Melayu.

Manor Beach Resort terletak dalam kawasan seluas 1.2 hektar, kira-kira 50 meter di pinggir pantai di Tanjong Demong Besut, Terengganu.

Ia sebuah resort yang dianggap unik dan eksklusif. Mula beroperasi pada April tahun lalu dengan siapnya fasa pertama pembangunannya, resort itu kini semakin dikenali ramai.

Menawarkan sebanyak 20 bilik penginapan dalam calet lapan unit berkembar, pastinya pengalaman menginap di sini menjadi sesuatu yang sukar untuk dilupakan.

Reka bentuk dan seni bina rumah Melayu Terengganu dan Melaka yang diadun di bumbung, tingkap dan tangga menyerlahkan ciri-ciri rumah tradisional Melayu.

Lebih menarik, setiap calet didirikan dengan menggunakan tiang seri berkayu cengal, berbumbung limas, beratap senggora, berdaun tingkap, selain memiliki anak tangga dan beranda.

Manakala dekorasi di dalamnya pula dilengkapi dengan peralatan moden dan hiasan kayu, di samping bilik mandi separuh terbuka.

Keluasan dalaman yang cukup selesa dan menyenangkan bagi mereka yang berdua atau datang bersama keluarga membuatkan percutian dalam tempoh yang lama di sini berbaloi. Ini kerana pengunjung akan ditemani dengan suasana sunyi alam yang mendamaikan jiwa.

Apatah lagi tatkala melihat ragam kehidupan masyarakat tempatan di sekitar pekan kecil ini, kegiatan nelayan dan latar desa atau menjengah pulau-pulau berhampiran membuatkan percutian di resort ini begitu mengujakan.

Di lokasi setempat dalam persekitaran taman yang melingkari kawasannya, percutian di resort ini juga tidak menghampakan kerana ia turut menawarkan pemandangan pantai dan laut yang indah serta bot dan perahu nelayan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti snorkeling, berkayak, menyelam, memancing, mencandat sotong atau melawat ladang rusa pemilik resort.

Lokasinya yang cuma 15 minit memandu ke jeti Kuala Besut untuk menaiki bot dengan jarak perjalanan 20 minit ke Pulau Rhu dan satu jam ke Pulau Perhentian melengkapkan percutian pengunjung yang menggemari keindahan alam laut yang kaya dengan kepelbagaian kehidupan di dasarnya.

Pengurus resort tersebut, Shazlan Ismail berkata, tetamu juga berpeluang melihat bengkel seni ukiran kayu oleh pengukir tersohor atau mengunjungi rumah berbentuk istana Melayu lama atau menjengah pembuat peralatan bunyian muzik tradisional seperti gong, gendang dan rebab.

‘‘Di dalam kawasan resort ini, kami sediakan wakaf termasuk yang didirikan di atas kolam ikan bagi membolehkan pengunjung bersantai sambil menikmati juadah.

“Pengunjung juga boleh menikmati sarapan di ruang terbuka, di samping disediakan kemudahan makan malam barbeku,” katanya kepada S2.

Menurutnya, pihaknya juga menyediakan sebuah dewan yang sederhana keluasannya dan sesuai untuk meraikan majlis perkahwinan atau program-program korporat, selain majlis-majlis sosial seperti sambutan hari keluarga dan perkhemahan.

Katanya, resort ini mempunyai kelompok sasaran penggemar tersendiri dan banyak tempahan diterima daripada pelancong asing terutama dari Eropah apabila berlaku peralihan musim.

‘‘Mereka tertarik dengan apa yang kami persembahkan, reka bentuk calet dengan landskap buatan, kolam renang ala French Pool, pantai yang bersih dan panorama lautan berhampiran Pulau Rhu, Pulau Perhentian, Pulau Kecil, Pulau Besar, Pulau Suji dan juga Pulau Rama’’ ujarnya.

Menurutnya, Manor Beach Resort boleh dianggap sebagai sebuah resort butik yang menampilkan calet alam Melayu dan harga bilik yang ditawarkan juga amat berpatutan.

‘‘Bagi pembangunan fasa seterusnya, pihak kami sedang dalam proses menyediakan sebuah gimnasium, spa dan suite bulan madu,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130817/pl_03/Manor-Beach-Resort-sukar-dilupai#ixzz38L7loyJM
© Utusan Melayu (M) Bhd